Friday, August 28, 2009

Mesti capai kadar 8% demi jayakan Wawasan 2020: Najib

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, berkata Malaysia mesti berkembang pada kadar pertumbuhan tahunan 8 peratus dalam tempoh sepuluh tahun, jika negara ini mahu mencapai status negara maju menjelang 2020.

"Pertumbuhan yang kurang daripada itu akan melewatkan pencapaian matlamat kita.

"Contohnya, pertumbuhan tahunan 6 peratus bererti pencapaian status pendapatan tinggi akan lewat selama 10 tahun lagi hingga ke tahun 2030, bukan 2020," kata beliau dalam ucaptamanya pada mesyuarat sulung Majlis Penasihat Ekonomi Negara (NEAC) di Kuala Lumpur hari ini.

Najib, yang juga menteri kewangan, berkata negara mestilah berusaha dengan gigih untuk mencapai sasaran melayakkan diri bagi ambang semasa Bank Dunia untuk ekonomi berpendapatan tinggi.

Beliau berkata pengembalian semula pencapaian 2008 negara dalam Pendapatan Negara Kasar (GNI) menunjukkan Malaysia akan menduduki tempat ke-85 pada paras hampir AS$7,000.

Sementara itu ambang semasa Bank Dunia bagi ekonomi berpendapatan tinggi ialah hampir AS$12,000 dan mengikut kadar pertumbuhan yang diunjurkan, ia akan mencapai lebih AS$17,000 menjelang 2020.

Untuk mencerminkan dengan lebih jelas perdagangan dunia yang semakin terbuka, Najib berkata Bank Dunia kini menggunakan GNI, dan bukan lagi Keluaran Dalam Negara Kasar (GDP) untuk membandingkan negara-negara bagi tujuan analisis.

Menggunakan GNI ada baiknya kerana ia mencerminkan pertumbuhan modal yang benar-benar milik Malaysia tanpa persepsi berat sebelah yang dicetuskan oleh pelaburan asing di negara ini.

Untuk mencapai status itu, kata Najib, Malaysia mestilah bukan sahaja berkembang maju malah juga bertindak dan wujud dalam cara yang mencerminkan status itu.

Perdana menteri berkata ada ukuran sosial dan kualiti hidup yang penting diambil kira bila menentukan objektif dan kejayaan negara.

Katanya, usaha Malaysia untuk mencapai status negara maju akan bergantung kepada dua kriteria.

"Yang pertama memerlukan pencapaian yang melebihi ambang untuk menjadi ekonomi berpendapatan lebih tinggi dan kedua, sebagai sebuah ekonomi maju, kita mestilah mencapai peningkatan prestasi indeks pembangunan manusia Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF)," kata perdana menteri.

Menjelaskan lebih lanjut pada satu sidang akhbar kemudiannya, Perdana Menteri berkata kerajaan tetap komited terhadap usaha mencapai Wawasan 2020.

"Ternyata, kita perlu membuat perkiraan semula tentang apa yang boleh dicapai dan dikekalkan, memandangkan persekitaran ekonomi global sekarang, yang jauh berbeza daripada masa kita mengilhamkan Wawasan 2020, mengalami krisis kewangan Asia 1997/98 dan sekarang krisis ekonomi global.

"Memandangkan andaian serantau tentang persekitaran ekonomi global telah agak banyak berubah, semua rancangan kini mestilah anjal dan disemak semula disebabkan oleh keadaan global yang berubah-ubah, tetapi kita mesti mengharunginya untuk mencapai matlamat kita," tegas Najib.

Perdana menteri berkata NEAC akan membantu kerajaan merumuskan rancangan untuk mengubah negara menjadi negara berpendapatan tinggi dan mencapai Wawasan 2020.

"NEAC akan cuba mencapai sasaran masa ini. Ia akan mengumumkan laporan pertamanya sebelum akhir tahun ini dan laporan kedua, yang melibatkan pelaksanaan, akan dikeluarkan enam bulan selepas itu," katanya. BERNAMA


0 comments:

Post a Comment