Thursday, December 2, 2010

MASA



Assalamualaikum w.b.t dan salam muhibbah

"You should not be late for everything except for your funeral"

Kata-kata yang lahir dari mulut pemandu 'shuttle' tempat kami menginap ini benar-benar menusuk kalbu. Kadang-kadang kita bagaikan mengambil mudah akan perkara ini; perkara yang mungkin kelihatan enteng tetapi bakal mengundang seribu satu masalah jika dijadikan amalan. Ya, perkara itu ialah menepati masa.


Niat di hati sekadar ingin mengingatkan diri sendiri dan rakan-rakan lain akan pentingnya bagi kita untuk sentiasa menepati masa dalam apa jua perkara yang ingin dilaksanakan. Menepati masa dapat membantu kita dalam memastikan segala perkara berjalan seperti yang dirancangkan. Tidak akan berlaku istilah "lari schedule" jika semuanya menuruti kehendak masa seperti yang ditetapkan. Aktiviti berjalan lancar dan semua orang akan berasa gembira dan tenang.

Cuba bayangkan situasi di mana kita perlu berada di sebuah tempat tepat pada masa yang ditetapkan. JIka kita sering mengamalkan habit untuk tidak menepati masa, sudah pastinya perkara ini mungkin akan menjadi sedikit masalah. Lambat 5 atau 10 minit mungkin tidak menjadi masalah dalam sesetengah kes tetapi jika kelewatan itu menjangkau 20 minit, itu bukan sesuatu yang boleh diterima.

Prof. Dr. Habibah Asha'ari, mantan Pengarah INTEC pernah berkata:

We should not be punctual. Instead, we should be early.

Ini mungkin adalah peringatan kepada pelajar INTEC agar tidak sekali-kali membuatkan orang lain menunggu. Namun, pada hakikatnya semua pihak tanpa mengira darjat dan pangkat harus menjadikan kata-kata ini sebagai suatu sandaran dalam memastikan diri ini lebih berdisiplin menjalani kehidupan seharian.

"Masa itu emas."


Masyarakat zaman dahulu kala telah memberikan perumpamaan yang cukup ideal bagi menggambarkan kepentingan masa dalam kehidupan. Dapat dilihat perbandingan di mana masa dianggap mempunyai harga yang sama tinggi dengan emas. Jika mereka mampu untuk melihat kepentingan masa dalam aktiviti seharian, kenapa tidak kita??

Nukilan ini hanyalah sedikit bingkisan sekadar mengingati diri ini akan perlunya kita menepati masa dalam segala apa yang kita lakukan. Jangan biarkan orang lain menunggu kita, sebaliknya biarlah kita yang menunggu mereka.

Wassalam~

disediakan oleh: Ahmad Azizi Jamaludin

0 comments:

Post a Comment